Gambar Hiasan |
Pada
era ini penggunaan telefonpintar seperti sudah menjadi keperluan bagi setiap
orang. Fungsinya yang pelbagai juga
menjadikan gajet ini sebagai pilihan utama berbanding telefon bimbit biasa. Ia
mempunyai aplikasi-aplikasi canggih seperti WhatsApp, WeChat, Facebook dan
Instagram yang boleh diakseskan menggunakan telefon ini.
Bagaimanapun, dalam keghairahan
menggunakan aplikasi yang terdapat dalam telefon pintar, pengguna perlu peka
dan bijak berinteraksi dengan pengguna lain dalam aplikasi tersebut.
Berikut disertakan beberapa tips yang boleh dijadikan panduan dalam menggunakan aplikasi komunikasi tersebut.
· Gunakan Untuk Tujuan Kebaikan
Aplikasi yang diwujudkan seperti WeChat dan WhatsApp adalah teknologi komunikasi yang canggih berbanding sistem pesanan ringkas (SMS) biasa. Seseorang boleh menghantar mesej pelbagai saiz, bentuk dan tanpa had kepada penerima. Dalam aplikasii ini juga, pengguna boleh mewujudkan kumpulan atau komuniti yang membolehkan perbincangan secara beramai-ramai. Bagi pelajar atau pekerja yang bekerja satu jabatan, pastinya ruangan ini menjadi medan untuk mesyuarat tidak rasmi jika tiada kesempatan untuk berjumpa.
Bagaimanapun, ada juga yang mewujudkan kumpulan bertujuan untuk mengutuk atau membuat perkara yang tidak sihat. Elakkan berbuat demikian kerana teknologi yang diwujudkan sebenarnya untuk memudahkan aktiviti manusia, bukannya mengundang keburukan.
· Jaga Batas Pergaulan
Perbincangan tanpa had adalah menyeronokkan. Apatah lagi jika ia tidak dikenakan bayaran seperti SMS biasa yang dikenakan caj untuk setiap mesej yang dihantar. Namun, setiap pengguna perlu sedar akan batasan masing-masing supaya tidak terlalu leka bersembang di laman WeChat atau WhatsApp sehingga mengabaikan tanggungjawab hakiki seperti kerja sekolah, kerja pejabat atau menjaga anak-anak. Bagi seorang wanita atau lelaki yang sudah berkahwin, jagalah pergaulan anda dalam aplikasi tersebut supaya tidak melampaui batas. Jangan menggunakan laman ini untuk anda bercerita masalah rumah tangga atau kekurangan pasangan. Jangan terlalu leka dengan WeChat atau WhatsApp sehingga anda kurang berkomunikasi secara nyata dengan orang sekeliling.
· Elakkan sentiment sensitif ketika berkomunikasi
Selain menjadi medan perbincangan, kumpulan yang diwujudkan dilaman ini pastinya mengeratkan hubungan sesama ahli. Ia juga popular dalam kalangan bekas-bekas rakan sekelas yang mewujudkan kumpulan untuk mengimbau kenangan lalu. Pastinya pelbagai cerita lama dan lucu yang diungkit. Namun, berhati-hati dalam perbualan supaya tidak menyentuh sensitiviti seseorang. Jika terlebih berjenaka, tidak mustahil ada yang berkecil hati. Elakkan membincangkan perkara yang sensitif seperti isu perkauman, agama, dan politik jika kumpulan anda melibatkan ramai orang dan tidak sealiran dengan anda.
· Mohon izin rakan sebelum dimasukkan ke dalam kumpulan
Setiap orang mempunyai kecenderungan yang berbeza. Ada yang gembira tatkala ditambah ke dalam kumpulan yang mempunyai ramai kenalan baru atau lama. Namun, ada juga yang tidak senang melayan terlalu banyak mesej dalam kumpulan yang disertai. Oleh itu, mohonlah kebenaran terlebih dahulu sebelum dimasukkan kedalam kumpulan perbualan tersebut.
No comments:
Post a Comment